Monday, September 24, 2012

HUKUM MANDI TELANJANG

  
Share/Bookmark


Haram hukumnya mandi dalam keadaan bogel atau bertelanjang di tempat awam kerana membuka aurat dengan sengaja adalah haram hukumnya.

لا ينظر الرجل إلى عورة الرجل ولا المرأة إلى عورة المرأة

Maksudnya : Janganlah laki-laki melihat aurat laki-laki, begitu juga perempuan jangan melihat aurat perempuan…(Sohih Muslim No. 338)

Namun sekiranya memakai kain atau sebagainya yang menutup aurat, maka tidak mengapa. Adapun mandi dalam keadaan bogel yang terhindar dari padangan manusia, maka hukumnya harus, tidak makruh sama sekali seperti yang difahami kebanyakkan orang. Diriwayatkan dalam hadith Sohih Bukhari, “Bab Mandi Telanjang Seorang Diri Di Tempat Sepi, Namun Menutupi Diri (Menggunakan Kain Basahan) Lebih Utama” Nabi Musa as pernah mandi dalam keadaan bogel/telanjang.

Dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW baginda bersabda : “Dahulu Bani Israel mandi telanjang, mereka saling melihat satu sama lain. Sementara Nabi Musa as mandi seorang diri. Orang-orang Bani Israel berkata :’Demi Allah, tidak ada yang mencegah Musa mandi bersama kita kecuali kerana dia mengidap penyaki aadar.’ Suatu ketika Nabi Musa pergi mandi, baginda meletakkan pakaiannya di atas batu, lalu batu itu membawa lari pakaiannya. Maka Musa pun mengejarnya (batu itu), seraya berkata : ‘Hai batu, pakaianku!’. Akhirnya, orang-orang Bani Israel pun melihat Musa. Lalu mereka berkata : ‘Demi Allah, ternyata Musa tidak mengidap penyakit apa pun.’ Musa berjaya mengambil pakaiannya, lalu memukul batu tersebut dengan satu pukulan. Abu Hurairah berkata : “Demi Allah, bekas (pukulan) Nabi Musa pada batu itu sama dengan pukulan enam atau tujuh batu” (Sohih Bukhari No.278. Lihat Fathul Bari Bab 20, hadith No. 278)

Begitu juga dengan Nabi Ayyub as, diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra Nabi SAW bersabda :

بينما أيوب يغتسل عريانا خر عليه رجل جراد من ذهب فجعل يحثي في ثوبه فناداه ربه يا أيوب ألم أكن أغنيك عما ترى قال بلى يا رب ولكن لا غنى لي عن بركتك

Maksudnya : Sewaktu Nabi Ayyub as mandi dalam keadaan bogel/telanjang, tiba-tiba jatuhlah di depannya seekor belalang emas. Ayyub pun segera hendak mengambil kainnya, maka baginda pun dipanggil oleh Tuhannya, “Wahai Ayyub, bukankah engkau telah cukup kaya hingga tidak memerlukan lagi barang (belalang emas) yang kau lihat itu?” Ujur Ayyab, “Benar wahai Tuhanku, tetapi aku tidak boleh mengabaikan keberkatan-Mu.” (Sohih Bukhari No. 3211, 7055. Sunan Nasa’i No. 409. Musnad Ahmad bin Hanbal No. 8144)

Berdasarkah dalil hadith yang sohih di atas, maka tiada halangan untuk mandi dalam keadaan bogel di tempat yang tertutup yang terhindar dari pandangan manusia.

Di dalam kitab Fathul Bari Syarah Shahih Al-Bukhari, Imam Ibnu Hajar menyatakan bahawa bertelanjang seorang diri secara mutlak (bukan bertujuan mandi) adalah tidak dibolehkan berdasarkan hadith daripada Bahz, Nabi SAW bersabda “Lebih patut seseorang malu kepada Allah daripada malu kepada manusia”. Akan tetapi al-Bukhari membolehkan mandi seorang diri tanpa pakaian berdalilkan kedua kisah Nabi Musa dan Ayyub. Cara mengambil hukum daripada kedua dalil tersebut adalah, bahawa kedua Nabi tersebut adalah termasuk Nabi yang kita diperintahkan untuk mengikutinya. Ini hanya berlaku bagi pendapat yang mengatakan bahawa syariat orang-orang sebelum juga adalah syariat bagi kita, melainkan apa yang telah mansuh.

Ibnu Hajar selanjutnya menyatakan, bahawa Nabi SAW menyampaikan kedua hadits tersebut tanpa mengulasnya sedikit pun. Jika sekiranya mandi tanpa pakaian itu dihapuskan syariatnya kepada kita, nescaya Nabi SAW akan menyatakan kepada kita bahawa itu dilarang.

Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa, mandi dalam keadaan tanpa pakaian atau berbogel adalah harus hukumnya, bukanlah makruh seperti yang difahami kebanyakkan kita. Adapun sekiranya menggunakan kain basahan, maka itu lebih afdhal (utama).

Namun, sekiranya tidak yakin untuk mandi dalam keadaan bogel kerana merasakan malu kepada diri sendiri, maka ikutlah yang mana dirasakan lebih selesa. Terdapat hadis daripada Mu’awiyah bin Haidah RA. yang menceritakan; Aku telah bertanya Rasulullah; “Ya Rasulullah! Bilakah masanya wajib kami tutup dan bila masanya harus kami buka?”


Jawab baginda :
“Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau kepada hamba yang kamu miliki”.
Aku bertanya lagi,
“Bagaimanakah jika sekiranya seseorang daripada kami sedang bersendirian?” Nabi menjawab : “Allah lebih layak untuk kamu malu daripada manusia” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Sekian.





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Blogged.my
Kedai Backlink,Backlink Percuma
Hijri Calendar
Kalendar Besar
My Weather✔